Tunku
Abdul Rahman
Yang Teramat Mulia
Tunku Abdul Rahman Al-Haj |
|
![]()
Perdana Menteri Malaysia
|
|
Tempoh
berjawat
31 Ogos 1957 – 22 September 1970 |
|
Raja
|
Abdul
Rahman
Hisamuddin Alam Shah Putra Ismail Nasiruddin Shah |
Timbalan
|
Abdul
Razak Hussein
|
Didahului oleh
|
Pejabat
ditubuhkan
|
Digantikan oleh
|
|
Tarikh
lahir
|
8 Februari 1903
|
Tempat
lahir
|
Alor Star, Kedah, British Malaya
|
Meninggal
|
6 Disember 1990 (umur 87)
Kuala Lumpur, Malaysia |
Parti politik
|
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu-Parti Perikatan/National Front
|
Pasangan
|
Meriam Chong (1933
– 1935)
Violet Coulson (1935 – 1946) Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah (1939 – 1990) |
Pekerjaan
|
Peguam
|
Agama
|
|
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan
Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan
Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana
Menteri pertama sejakkemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada
pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku",
beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa
Malaysia".
Kehidupan peribadi
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku
merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang
ke-24. Bondanya Cik
Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah
gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku
disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti
Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid,
telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak
sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung.
Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga
menghidapi penyakit puru di kakinya.
Pendidikan
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di
Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di
sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku
kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini
dinamakan Kolej
Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu
siang dan membaca Al-Quran pada
waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap
bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang
sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School).
Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang
Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang
yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor
Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri
Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti
Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima
pendidikan di United
Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku
tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit
berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua
sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke
England, tiada sepasang pun baju Melayu yang
dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards
di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang
berbaju Melayu, siap dengantengkolok.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V.
Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah).
Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley
Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada
di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu
peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau
memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar
undang-undang di Universiti
Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan
keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan
undang-undang di Inner
Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas
sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun
1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada
tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada
tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku
bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping
bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena
nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga
untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau
kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik
sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu
berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak
membawanya ke India. Bagi beliau, tidak
wajarlah seseorang sultan melarikan
diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik
ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu
Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim,
dekat dengan Kulim, di bawah jagaan
Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan
Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan
Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun.
Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku
kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulimtetapi
ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947.
Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul
Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu,
Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut
kemerdekaan India. Beliau juga
berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949. Setelah
belajar 25 tahun , barulah Tunku layak menjadi peguam.[1]
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola
sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957.
Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah
jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.
Keluarga
Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan
Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di
Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang
Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana
menghidapi penyakit malaria di
Kuala Nerang, Kedah.
Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas
tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapuraialah Syed Ahmad al Sagoff.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid.
Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian
berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang
juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939.
Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah. Oleh sebab perkahwinan ini tidak
mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu
Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang
berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang
cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.
Kerjaya politik
Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk
bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian
meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di
mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu,
dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah
hebat di kalangan kaum Melayu di
tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh
Britain. Datuk Onn
Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku
menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk
Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai
presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.
Laluan ke kemerdekaan
Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi
kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada
tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang
pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi
51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri
Malaya yang pertama. MIC yang
mewakili kaum India kemudian
menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk
berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh
kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari
kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!".
Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman
suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan
lambang kemerdekaan Malaysia yang
biasa.
Sebagai Perdana Menteri
Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin
Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan
1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada
pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada
"Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di
Singapura. Pada 16
September 1963,
dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi
Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan
Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga
hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti
Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai
sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada
pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan
mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di
sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya
Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau
tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang
mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di
Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan
Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih
untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak
mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding
kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan
kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang
memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan
ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN),
pada 8 Ogos 1967.
Dalam Pilihan
Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat.
Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu
mencetuskan rusuhan
kaum pada 13 Mei di
Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul
Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN,
sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan
darurat.
Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan
sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden
UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang
terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr
Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu
kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.


Kegiatan Islam
Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960,
Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM),
sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan
baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum
kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca
Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang
diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan
tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan
sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank
Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam
OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia
Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.
Kehidupan kemudian
Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The
Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku
menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking
Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As
I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana
Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan
di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan
sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya
dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan
kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku
Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46
dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.
Meninggal dunia
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang.Apabila sakit
beliau dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur .Beliau meninggal dunia pada 6
Disember 1990 sewaktu berumur 87.Jenazah dibawa ke kediamannya di Bukit Tunku dan
esoknya disemadikan di Makam
Diraja Langgar, Alor Star.
Garis masa
·
1903: Dilahirkan pada 8
Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana
Pelamin.
·
1913 (umur 10): Beliau
dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid,
iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir,
Bangkok.
·
1916 (umur 13): Pulang
ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
·
1919 (umur 16):
Belajar di England.
·
1925 (umur 22):
Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama
dari sahabatnya Taib Andak.
·
1927 (umur 24):
Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge
kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.
·
1930 (umur 27): Lulus
semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
·
1931 (umur 28):
Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah
dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai
Jajahan di Kulim.
·
1932 (umur 29):
Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
·
1933 (umur 30):
Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di
Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku
Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad
Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
·
1934: Mariam meninggal
dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan
kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
·
1935 (umur 32):
Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan
Tunku dengan Violet kurang direstui.
·
1937 (umur 34):
Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai
hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
·
1938 (umur 37): Pergi
ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang
undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan
isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
·
1939 (umur 36):
Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin
dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh
Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah.
Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
·
1940 (umur 37):
Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan
Kedah.
·
1941 (umur 38): Jepun
menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
·
1947 (umur 44):
Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner
Temple.
·
1949 (umur 46): Pulang
ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang
di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala
Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai
Presiden Mahkamah Sesi.
·
1946: Menyertai UMNO.
·
1951 (umur 48):
Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan.
Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di
Kedah.
·
1954 (umur 51):
Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan
bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
·
1955 (umur 52):
Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti
Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang
dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai
Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London
diadakan.
·
1956 (umur 53):
England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik
pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali
pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
·
1957 (umur 54):
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan
kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak
antarabangsa.
·
1958 (umur 55):
Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 –
1976).
·
1960 (umur 57):
Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk
membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.
·
1961 (umur 58):
Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan
Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca
Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
·
1963 (umur 60):
Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan
Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
·
1967 (umur 64): ASA
dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu
Association of Southeast Asian Nations.
·
1969 (umur 66):
Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai
Setiausaha Agungnya yang pertama.
·
1971 (umur 68):
Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan
oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
·
1982 (umur 79):
Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP)
(1982 – 1988).
·
1990 (umur 87):
Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star.
Penulisan
1.
Challenging times : Tunku Abdul Rahman Putra / Sunting oleh J.S.
Solomon: Pelanduk Publications , 2007
2.
Malaysia : the road to independence : Pelanduk, 2007.
3.
Political awakening : Pelanduk Publications, c1986.
4.
Pandang Balik : Heinemann Educational Books, 1980.
5.
Sudut Pandangan : Heinemann Educational Books, 1979.
6.
Looking back : the historic years of Malaya and Malaysia: Pustaka
Antara, 1977.
7.
Last we forget
Rujukan
Ramlah Adam, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra, DBP,
Kuala Lumpur, 2004