Hussein Onn
Yang Amat Berbahagia Tun
Hussein Onn |
|
![]()
Perdana Menteri Malaysia ke-3
|
|
Tempoh
berjawat
15 Januari 1976 – 16 Julai 1981 |
|
Raja
|
Sultan Yahya Petra (1975
- 1979)
Sultan Ahmad Shah (1979 - 1984) |
Didahului oleh
|
Tun
Abdul Razak
|
Digantikan oleh
|
Tun
Dr Mahathir Mohamad
|
Tarikh
lahir
|
12 Februari 1922
|
Tempat
lahir
|
Johor Bahru, Johor
|
Meninggal
|
29 Mei 1990 (umur 68)
San Francisco Selatan,Amerika Syarikat |
Parti politik
|
UMNO
Barisan Nasional |
Pasangan
|
Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah
|
Pekerjaan
|
Peguam
|
Agama
|
|
Allahyarham Tun
Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana
Menteri Malaysiaketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang
yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai
reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan
kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan
perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun
Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".
Kehidupan awal
Beliau dilahirkan
di Johor Bahru serta
merupakan anak kepada Dato' Onn
Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
pada tahun 1946. Ibunya bernama Datin
Halimah Hussein.
Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau
Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini
digelar "Maktab
Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas
persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian,
beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai
Regimen Hyderabad ke-19 (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu
peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik
beliau sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis
Malaya" diRawalpindi.
Bermula tahun 1942, beliau terlibat secara aktif dalam peperangan di
Mesir, Syria, Palestin, Iran dan Iraq. Apabila Perang Dunia Kedua meletus di
rantau Asia, beliau ditempatkan di Cawangan Perisikan Ibu Pejabat Tentera
British, India di New Delhi. Beliau kemudiannya dipinjamkan ke unit pengambilan
orang-orang baru dan melatih para pejuang bawah tanah Malaya menentang tentera
Jepun yang menawan Malaya. Dari Madras Tun Hussein merancang dan menggerakkan
operasi peperangan gerila terhadap Jepun.
Beliau pulang ke Malaya (kemudian Persekutuan Tanah Melayu; kini
Semenanjung Malaysia) pada 1945 dan
dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Beliau kemudiannya
bersara dari perkhidmatan ketenteraan dengan berpangkat kapten, satu pencapaian
yang cukup cemerlang bagi seorang bumiputera semasa penjajahan British. Selama
6 tahun berkhidmat dalam tentera, beliau dikenali sebagai seorang yang
berdisiplin dan menepati masa. Seterusnya, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong
Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Beliau juga pernah bekerja di
negeri Selangor sebagai
pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.
Semangat Dato' Onn Jaafar menentang
Malayan Union turut mengapikan semangat Tun Hussein untuk bersama bapanya
menentang Malayan Union. Beliau kemudiannya menyertai bapanya dalam bidang
politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Apabila
UMNO ditubuhkan, beliau dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO dan kemudiannya
sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama pada usia 28 tahun. Beliau
kemudiannya menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Tun Abdul
Razak pula mengambil alih sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Di samping penglibatannya dalam bidang politik, beliau memasuki
Perkhidmatan Pentadbiran Melayu dan berkhidmat di Kuala Selangor dan Kelang
sebagai Penolong Pegawai Daerah. Pada tahun 1949, beliau telah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha
Agung. Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat
Persekutuan di samping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan
Majlis Kerja Negeri Johor.
Walaubagaimanapun, penglibatan beliau dalam bidang politik mulai pudar
apabila cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu
tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila bapanya menarik diri dari UMNO,
beliau kemudianyannya menyertai bapanya keluar dari UMNO dan menubuhkanParti
Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti
Negara. Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, beliau meninggalkan
bidang politik apabila menukar arah dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang
undang-undang di Lincoln's
Inn, England dan
lulus sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958.
Sekembalinya ke Malaya, beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala
Lumpur. Pada masa itu, beliau sudah pun berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Mohammad Noah dan
mempunyai enam orang anak. Ibarat sireh pulang ke ganggang, beliau kembali
menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak yang ketika itu
memegang jawatan sebagai Yang Di-Pertua UMNO pada tahun 1964. Pada Jun 1969,
beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja
Tertinggi UMNO). Walaupun beliau telah lama menghilangkan diri daripada arena
politik, tapi UMNO telah mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan
Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau
memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969.
Kebangkitan untuk
berkuasa
Beliau kembali
ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas
dipujuk oleh Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri pada ketika itu.
Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan
dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau
mewarisi Tun
Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, beliau dilantik
untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul
Razak. [1]
Peranan dan
sumbangan
Penyertaannya
dalam kabinet Malaysia bermula pada September 1970 apabila dilantik menjadi
Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak. Di bawah pentadbiran beliau, Kementerian Pelajaran terus
meningkat maju. Beliau maju setapak lagi apabila dalam Perhimpunan Agung UMNO
tahun 1972, beliau telah menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib
Presiden yang dipilih. Di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 8 Ogos
1973, beliau dilantik menjadi Timbalan Presiden UMNO berikutan kematian
daripada Tun Dr. Ismail. Apabila Tun Dr. Ismail meninggal dunia, beliau dilantik
menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 sekaligus merangkap Menteri
Perdagangan dan Perindustrian. Pemergian Tun Abdul Razak ke rahmatullah pada 14
Januari 1976 telah mengejutkan rakyat di seluruh negara ini.
Berikutan itu, dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi pada 17
Januari, beliau telah disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO. Pada hari
Khamis, 15 Januari 1976, Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri
Malaysia yang ketiga di Istana Negara. Pada tahun 1978, beliau menang tanpa
bertanding bagi jawatan Presiden UMNO. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau
telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Tun Abdul Razak
khususnya dalam menggerakkan Dasar
Ekonomi Baru. Sebagai seorang pemimpin, beliau arif tentang hal
ehwal keselamatan. Beliau juga memberi penekanan kepada konsepRukun Tetangga dan
perjuangan terhadap ancaman dadah. Di
bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan
dipermodenkan apatah lagi pada ketika itu, rantau di Asia Tenggara telah
menjadi gempar ekoran jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan ke tangan komunis dan
terbinalah cita-cita "Teori Domino" komunis. Semasa pentadbirannya
pada temboh darurat, usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan bandar
telah diperhebatkan malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis
dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan yang dikatakan berjaya.
Beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang menyebebkan Malaysia
meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar
dan program-program yang diketengahkannya tidak pernah lari dari sasaran Dasar
Ekonomi Baru. Walaupun pada ketika itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan
ekonomi dunia, beliau berjaya untuk mengawal keadaan dan membantu Malaysia
berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Beliau pernah menjalani rawatan
jantung atau pintasan koronari pada awal 1981. Beliau juga telah
berjaya melancarkan Rancangan Malaysia Keempat pada bulan April 1981. Beliau
juga telah mengikuti jejak langkah bapanya yang sentiasa mencuba untuk
meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu yang agak ketinggalan jika
dibandingkan dengan kaum-kaum lain terutamanya dari segi ekonomi. Dengan itu,
pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN)
yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti
bumiputera dalam ekonomi negara. Keamanan negara yang diperkukuhkannya telah
menarik pelabur luar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang
stabil dari segi politik dan ekonomi. Sumbangan beliau yang terbesar ialah
menegakkan tiang keamanan yang kukuh.
Akibat kesihatan beliau yang merosot, beliau menyatakan hasratnya untuk
tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri daripada
kepimpinan negara. Beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai
Perdana Menteri pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh
timbalannya, Dato'
Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini bergelar "Tun")
pada 18 Julai 1981. Selepas beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri,
beliau masih aktif dalam pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Tabung Mata
dan ISIS semasa hayatnya. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn
dikurniakan dengan gelaran Tun yang
merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.
Selepas persaraan
Selepas
persaraannya sebagai Perdana Menteri, beliau meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan
peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Beliau juga
pernah menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan
Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepadaPetronas.
Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan beliau dengan Tun Dr. Mahathir
menjadi buruk kerana beliau menyokong "Team B" bersama-sama dengan Tunku
Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, beliau dan Tunku telah menjadi
pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Tun Dr. Mahathir.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat
Perubatan Seaton, San
Francisco, Amerika Syarikatkerana serangan sakit jantung, dan
disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Keistimewaan
Beliau adalah
seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal
ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya.
Pengalaman dalam bidang ketenteraan telah menjadikan beliau sebagai seorang
yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Beliau telah memberikan
kebebasan kepada akhbar dan majalah untuk melontarkan kritikan dan komentar
dengan harapan bahawa perkara itu akan meningkatkan prestasi pentadbirannya.
Beliau adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Beliau juga
terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur. Dalam sejarah, beliau akan sentiasa
dikenang sebagai "Penyambung Warisan Yang Terbilang". Usaha beliau
dalam memupuk semangat perpaduan antara berbilang kaum telah berjaya dicapai
dalam konteks masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah
disandang oleh ayahandanya serta pogram pembangunan yang dijana oleh sahabatnya
dan melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Malah, beliau juga telah mewariskan
pentadbiran kerajaan serta UMNO kepada Tun Dr. Mahathir dalam keadaan yang
stabil dan begitu kukuh pada ketika itu.
Garis masa
·
1922: Dilahirkan di Johor
Bahru pada 12 Februari.
·
1942 (umur 20):
Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
·
1945 (umur 23): Pulang
ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
·
1946 (umur 24):
Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar
menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong
Setiausaha Agung UMNO.
·
1950 (umur 28):
Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik
sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat
Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
·
1951 (umur 29): Menyertai
ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP)
dan kemudiannya Parti Negara.
·
1958 (umur 36):
Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.
·
1964 (umur 42):
Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua
UMNO
·
1969 (umur 47):
Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi
UMNO) pada Jun.
·
1970 (umur 48):
Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
·
1972 (umur 50): Dipilih
sebagai Naib Presiden UMNO
·
1973 (umur 51):
Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi
UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana
Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan
Perindustrian.
·
1976 (umur 54):
Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi
Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.
·
1978 (umur 56): Menang
jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.
·
1981 (umur 59):
Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus
mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana
Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato'
Seri Dr Mahathir Mohamad.
·
1990 (umur 68): Pulang
ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana
serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan diMakam Pahlawan, Masjid Negara.